Tuesday, 24 June 2025

Kembali ke Jalur Catan, Menyambung Perjalanan Dulu

 Dah bertahun saya tak menyentuh blog ini.

 

Pada mulanya, saya fikir ia sekadar ruang lama yang sudah melepasi waktu seakan buku nota buruk yang tertinggal dalam laci. Tapi hari-hari tertentu, bila saya taip nama sendiri di Google dan nampak cebisan karya lama dari blog ini masih wujud, buatkan saya sedar yang mungkin saya yang berhenti, tapi perjalanan ini sebenarnya belum habis.

 

Saya kembali kepada catan, bukan sebab mahu jadi hebat semula, tapi kerana saya rindu akan perasaan diam bila proses cat minyak dilapis perlahan. Proses itu menenangkan, memenatkan, kadang-kadang menyakitkan akan tetapi itulah suara paling jujur yang saya ada sekarang.

 

Saya tak berniat nak kejar pasaran, walaupun saya sedang siapkan siri baru dengan niat untuk dipamerkan. Tapi kalau saya jujur, saya rindu ruang galeri. Rindu perasaan letih lepas pasang lukisan. Rindu tengok orang tengok karya lepas tu senyap. Atau senyum. Atau ada lepas makan rembat katalog dan blah. Rindu kumpul bareng dengan kawan-kawan, salam cium peluk, kadang bau Surya, kadang bau 2T. Semua tu valid.

 

Dalam masa yang sama, saya masih terus bereksperimentasi dengan media berasaskan masa, art to wear, waste to art, dan juga 3D printing tapi sekarang, saya mahu beri ruang utama juga kepada lukisan. Pada lapisan cat. Pada titik, garis, dan gumpalan yang tidak minta dimengerti, cukup jika ia membekas.

 

Ini bukan permulaan dari kosong. Ini penyambungan dari jalan yang saya pilih dulu, tapi terhenti. Kerana hidup pun ada caranya menarik kita jauh dari benda yang pernah kita cinta.

 

Dan sebagai seorang pensyarah, saya juga rasa bertanggungjawab untuk mendokumentasikan perjalanan ini, bukan hanya sebagai seniman, tapi sebagai pendidik.

Saya teringat kata-kata Ismail Zain: "From dot to dot it becomes a line."

Mungkin tulisan ini, dan karya-karya yang saya hasilkan, bukanlah satu garis lurus. Tapi setiap satu darinya adalah titik yang bila disambung, akan membentuk garis yang saya sendiri belum tahu ke mana arahnya. Tapi saya ingin terus melukis titik-titik itu.

Supaya suatu hari nanti, pelajar-pelajar saya, atau sesiapa yang cuba faham jalan berkarya dan tahu bahawa proses itu bukan lurus, zaman takda duit makan megi tu biasa Nak. Ia berliku, tapi tetap boleh dibaca semula.

 

Kalau nak tengok karya terbaru, boleh ke sini: 

🎨 https://sites.google.com/view/sukorromat

 

Saya juga tulis sedikit refleksi di Medium: 

📝 Sukor Romat: DariCatan ke Eksperimen 3D, Sebuah PerjalananSeni

 

Dan laman lama di Wix masih bernafas juga: 

🌐 https://sukorromat.wixsite.com/sukor

 

Saya tak janji akan rajin menulis di sini. Tapi untuk hari ini, saya cuma nak catat bahawa saya masih berkarya. Masih belajar. Masih percaya bahawa jalan ini tak sia-sia, walau lengang.

 

Terima kasih kerana membaca.

No comments:

Post a Comment